Waktu Latihan

Gelanggang Naga Rantau - UMP

Gambang : Selasa dan Khamis (Blok W)

Pekan : Selasa dan Rabu (Pusat Aktiviti Pelajar)

Masa : 9:00 malam

Kursus Seni Bela Diri Wanita 2.0

Tarikh : 14 Disember 2014
Masa : 8am-5pm
Tempat : Gelanggang Futsal, UMP Kampus Gambang.

Tujuan Aktiviti :

Program ini bertujuan memperkenalkan dan mengajar kaum wanita salah satu seni bela diri berasaskan silat, iaitu buah pukulan wanita.

Buah Pukulan wanita adalah buah pukulan yang dicipta khas untuk wanita. Oleh sebab wanita tidak mempunyai daya kekuatan setanding dengan lelaki, pukulan ini dicipta lebih mudah berbanding pukulan biasa mahupun pukulan maut. Pukulan ini sering diajarkan kepada semua pesilat wanita dan juga kepada pesilat lelaki berbengkung kuning dan gurulatih.

Keistimewaan seni pukulan wanita ini adalah , sedikit sahaja tenaga yang digunakan namun mampu memberi kesan yang agak hebat kepada lawan khususnya kepada kaum lelaki.

Program ini akan memberi pendedahan dari segi teori serta praktikal kepada para wanita untuk dipelajari dan dipraktikkan. Program yang berlangsung selama sehari ini dapat memberi manfaat yang banyak khususnya kepada para wanita di luar sana di mana mereka akan memperoleh sedikit sebanyak tentang seni bela diri bagi wanita.

Program ini akan bermula dengan sesi pengenalan dan teori asas mengenai seni bela diri wanita berasaskan silat dan slot seterusnya adalah sesi demonstrasi oleh guru silat dan ahli silat untuk ditunjukkan kepada para pelajar wanita.



Atur Cara Program :


Booklet yang dicetak khas untuk para peserta Kursus Seni Bela Diri Wanita.
   

Aktiviti pemanasan badan sebelum memulakan slot pertama.



SLOT 1 : TITIK LEMAH (vital points)


Para peserta diberi keterangan definisi 'Titik Lemah' dan kegunaannya. Mereka turut diberi peluang mempelajari dan mengaplikasikan titik asas bagi Titik Lemah pada anggota badan meliputi tangan, muka, badan dan kaki.

                

SLOT 2 : ‘TEKNIK ELAKAN’ dan ‘MENANGKIS TANGAN KOSONG’

Peserta diajar teknik-teknik asas mengelak dan menangkis serangan tangan kosong dan bersenjata seperti pisau. Slot latihan diteruskan sehingga jam kira-kira 1.00 petang. Setelah itu peserta diberi masa untuk berehat sehingga jam 2.30 petang.


SLOT 3 : REAL-CASE SIMULATION


Merupakan game di mana peserta perlu menghadapi satu simulasi situasi sebenar diserang penjenayah individu dan berkumpulan yang menggunakan senjata seperti pisau. Selesai game, peserta diberi peluang untuk berlatih bersama pasangan lawan yang bersenjata dengan di awasi oleh para jurulatih dan pembantu jurulatih.




Slot terakhir berakhir sekitar jam 5 petang. Jurulatih utama, cikgu Shaiful Hakim diberi penghormatan untuk mengucapkan sepatah dua kata kepada para peserta dan disusuli oleh pengarah program, Siti Fatimah. Acara penyampaian hadiah sebagai penghargaan kepada cikgu Shaiful Hakim, jurulatih-jurulatih jemputan dan pengarah program menjadi penutup majlis.


Majlis bersurai.


Cikgu Shaiful Hakim bersama para peserta Kursus Seni Bela Diri Wanita 2.0


Cikgu Shaiful Hakim bersama para peserta & pembantu jurulatih Kursus Seni Bela Diri Wanita 2.0


Cikgu Shaiful Hakim bersama para pembantu jurulatih Kursus Seni Bela Diri Wanita 2.0



Sebarang pertanyaan lanjut / jemputan untuk PSSGM UMP (Gelanggang Naga Rantau) boleh dilakukan melalui email di pssgmump@gmail.com

SEKAP 2.0

ﺑﺳﻢﷲاﻟﺮﺣﻤﻦاﻟﺮﺣﻴﻢ


Assalamualaikum W.B.T ,


 Pada 17-19 Januari 2014 yang lalu, PSSGM UMP telah mengadakan satu program “Selangkah ke Alam Pendekar (SEKAP 2.0)”. Seramai sekitar 90 orang pesilat telah menyertai aktiviti yang diadakan di Teluk Gorek Chalet & Camp Site, Endau, Johor ini.


Hari Pertama : 17 Januari 2014 (Jumaat)

Bas dari UMP Kampus Gambang dan Kampus Pekan telah bertolak kira-kira jam 3 petang dari kampus masing-masing dan kami tiba di sana sekitar waktu Maghrib.


Setelah mendirikan khemah dan menunaikan solat Isyak’, pesilat-pesilat telah berkumpul di surau chalet untuk Majlis Perlimau Tapak dan Perlimau Seni. Sebelum itu, cikgu Shaiful Hakim telah berkongsi sedikit tentang ilmu manzil kepada para pesilat sebagai bekalan pada masa hadapan. Majlis tamat menjelang tengah malam.









Hari Kedua : 18 Januari 2014 (Sabtu)

Setelah solat Subuh berjemaah dan kuliah Subuh, para pesilat telah bersedia dan berkumpul di dataran kecil untuk senaman pagi sebelum acara seterusnya iaitu Ujian Kenaikan Bengkung.

adat membuka gelanggang


Ujian tamat pada awal petang dan kami dibenarkan untuk berehat sebelum berkumpul semula pada kira-kira jam 5.30 petang. Pada jam 5.30 petang, setelah cikgu Hakim tiba, srikandi-srikandi diajar tari Cindai,gerakan Cindai dan Buah Cindai untuk diuji nanti. Setelah selesai mengajar srikandi, cikgu Hakim mengajar Buah Pukulan Maut kepada panglima-panglima yang sedia menunggu di tepi pantai.Kami selesai berlatih sebelum azan Maghrib berkumandang.

 Malam itu selepas solat Isyak, kami dibenarkan untuk berehat sehingga tengah malam kerana aktiviti seterusnya adalah solo night. Kira-kira jam 12 tengah malam kami telah berkumpul semula. Setelah diberi taklimat ringkas oleh cikgu Hakim tentang aktiviti yang bakal kami jalankan nanti, iaitu solo night, masing-masing diberi kain untuk digunakan sebagai penutup mata. Setibanya di suatu kawasan kami diminta untuk menutup mata kami sebelum perjalanan diteruskan dengan keadaan kami berbaris panjang. Kemudian kami telah dipisah-pisahkan dan dikehendaki duduk di tempat-tempat tertentu.


Setelah beberapa jam, cikgu menghampiri setiap pesilat yang ditinggalkan bersendirian dan memberi salam sebelum membawa kami masuk semula ke dalam barisan tadi. Kami tiba di tapak perkhemahan semula kira-kira jam 5 pagi.



Hari ketiga : 19 Januari (Ahad)

Setelah bersarapan, srikandi-srikandi telah turun berlatih tari Cindai dan buah Cindai di tepi pantai sementara menanti kehadiran Cikgu Hakim. Latihan Cindai turut disertai panglima-panglima yang bakal diuji sekali.


Selesai solat Zuhur, kami bertolak ke tempat ujian iaitu sebuah air terjun kecil di kawasan hutan setempat. Alhamdulillah genting berjaya dipecahkan Ibu-ibu Cindai, Suhanna dan Ummi.