Waktu Latihan

Gelanggang Naga Rantau - UMP

Gambang : Selasa dan Khamis (Blok W)

Pekan : Selasa dan Rabu (Pusat Aktiviti Pelajar)

Masa : 9:00 malam

KIKOS 3.0

ﺑﺳﻢﷲاﻟﺮﺣﻤﻦاﻟﺮﺣﻴﻢ


Pada tanggal 2 hingga 4 Disember 2016, Persatuan Silat Seni Gayong Universiti Malaysia Pahang (PSSGMUMP) Gelanggang Naga Rantau telah berjaya menganjurkan Kem Khidmat Komuniti & Motivasi Berasaskan Silat (KIKOS) 3.0 bertempat di Kempville Beach Resort, Kuantan dengan hasil kerjasama antara pihak PSSGMUMP dengan Sek. Men. Keb. Indera Syahbandar dan Sek. Men. Keb. Gambang. Kolaborasi ini merupakan kolaborasi yang ke-3 dan projek pada tahun ini diketuai oleh saudari Nor Azreen Binti Zabir.



Kem yang telah disertai oleh 25 orang pelajar daripada 2 buah gelanggang angkat PSSGM UMP iaitu gelanggang SMK Gambang dan SMK Indera Shahbandar, Pekan dibantu oleh 24 orang fasilitator daripada gelanggang Naga Rantau, UMP.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bagi mencapai objektif program iaitu untuk melahirkan dan mengukuhkan generasi yang cintakan ilmu, celik sejarah, berdisiplin, dan bersemangat kental sebagai lambang waris kepimpinan negara yang teguh.

Jumaat | 2 Disember 2016

Jam 2.30 petang, para peserta dan fasilitator telah bertolak dari kedua-dua kampus Pekan dan Gambang menuju ke tempat kem di Kempville Beach Resort, Kuantan. Kemudian, Program diteruskan lagi dengan penyampaian taklimat kursus oleh pengurus projek saudari Nor Azreen Binti Zabir.

Hari pertama membuka tirai dengan slot 'Khidmat Komuniti'. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan besar dan ditugaskan untuk membersihkan kawasan persekitaran di Pantai Kempadang. Selepas itu, peserta diberi masa untuk khidmat diri dan makan malam. Kemudian, aktiviti diteruskan lagi seusai selesai sembahyang maghrib dan juga isyak iaitu slot 'Pelajaran Sejarah Gayong' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Khairul Anwar bin Ahmad dan diiringi oleh Cikgu Mohd Firdaus bin Osman.
Cikgu Khairul Anwar (kiri) menyampaikan sejarah berkenaan silat

Tepat jam 10.00 malam, telah berlansungnya slot 'Ice Breaking'. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan secara rawak beserta seorang fasilitator setiap kumpulan. Beberapa permainan kecil dilakukan memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.


Sabtu | 3 Disember 2016

Hari kedua dimulakan dengan senaman pagi dan larian di tepi Pantai Kempadang. Selepas itu, program diteruskan dengan slot ‘Latihan Silibus Gayong’. Slot ini dibahagikan kepada empat bahagian; pelajaran latihan asas, pelajaran seni kombat, pelajaran seni kunci mati dan pelajran seni pentas hidup. Latihan ini adalah pecutan terakhir sebelum ujian kenaikan bengkung keesokan harinya.



Latihan Silibus Gayong

Seusai solat Asar, tepat jam 5.00 petang slot ‘Explorace’ dimulakan dan setiap kumpulan dikehendaki pergi ke 4 checkpoint yang berlainan. Checkpoint pertama ialah ‘Bowling Stokin’. Dalam chechpoint ini, peserta harus menggunakan stoking masing-masing bagi menjatuhkan pin-pin bowling tersebut. Checkpoint seterusnya ialah ‘Kuiz Sejarah Gayong’. Para peserta harus menjawab berberapa soalan berkaitan ‘Pelajaran Sejarah Gayong’ yang disampaikan oleh Cikgu Khairul Anwar sebelum ini. Peserta perlu melalui berberapa halangan.


Laluan berhalang

Checkpoint yang ke-3 ialah ‘Paku Gantung’. Para peserta diberikan 9 paku dan perlu mendirikan paku tersebut dalam susunan tersendiri. Dan checkpoint yang terakhir ialah ‘Menara cawan’. Ketua akan diberikan contoh susunan dan perlu menyampaikan kepada orang kedua dalam bahasa isyarat. Orang kedua pula akan diikat tangan dan memberikan arahan kepada ahli yang lain tetapi ahli yang lain diikatkan matanya. 

Peserta sedang melakukan aktiviti 'Menara Cawan'

Sesudah selesai khidmat diri dan makan malam, para peserta bersama-sama dengan fasilitator menunaikan solat secara berjemaah. Bagi mengisi ruang yang ada antara waktu Maghrib dan Isyak, aktiviti yang dilakukan ialah Kelas Tajwid Al-Quran. Slot ini dikendalikan oleh saudara Faaizuddin dan dibantu oleh saudara Saufi, Nabil dan saudari Marliza. Tujuan slot ini ialah untuk memastikan bacaan surah-surah ringkas dibaca dengan betul dan tepat. 


Ahad | 4 Disember 2016

Pada hari terakhir, aktiviti pagi dimulakan dengan pembukaan gelanggang oleh imam gelanggang senaman pagi. Latihan dilakukan sebelum ujian kenaikan bengkung sebagai persediaan yang terakhir. Tepat jam 10.00 pagi ujian kenaikan bengkung bermula dan dikendalikan oleh gurulatih PSSGM Pahang cikgu Mohd Khairul Anwar bin Ahmad. Ujian berlansung selama empat jam sahaja. Ujian berakhir dengan ucapan dan pesanan dari Cikgu Khairul Anwar kepada semua peserta dan juga fasilitator. 



Ujian Kenaikan Bengkung

Akhir sekali, majlis penutup diakan secara besederhana sahaja dengan ucapan dari pengurus projek dan penyampaian hadiah untuk peserta.



Sebarang pertanyaan lanjut / jemputan untuk PSSGM UMP (Gelanggang Naga Rantau) boleh dilakukan melalui email di pssgmump@gmail.com

No comments: